Friday, July 28, 2017

Catatan seminggu di Kota Medan (Hari Keempat)



23 Julai 2017

Seawal jam 3 pagi lagi aku terjaga. Bukan kerana aku teruja untuk ke destinasi seperti yang dimaklumkan kak Cilik semalam. Tetapi ia merupakan kebiasaan aku semenjak kecil lagi. Entah mengapa aku kadang-kadang mengalami kesukaran untuk tidur. Nak kata Insomnia, memang mustahil. Mungkin kerana aku terlalu banyak berfikir.

Alang-alang sudah terjaga. Aku pun menekan butang controller TV yang terdapat di dalam bilikku untuk menonton apa-apa rancangan TV. Supaya ia dapat menyegarkan mataku kerana takut-takut kalau aku terlelap sekali lagi memandangkan pada jam 4 pula kami perlu bergerak ke destinasi yang dirancang. 

“Hmm..tak pergi lagi ke”. Keluh hatiku yang semakin menjadi risau kerana jam telah pun menunjukkan jam 4 pagi. Tetapi sehingga saat ini, tidak pula aku mendengar kak Cilik memanggilku. Mungkin masih tidur sangkaanku. “Kak Cilik!!! Kak Cilik!!!”. Ada suara garau yang agak kuat menyeru-nyeru nama kak Cilik sambil pintu di bahagian hadapan di ketuk-dengan agak kuat.

Berderau darah aku. Siapa pulalah pagi-pagi buta ini menyeru nama kak Cilik. Entah manusia atau tidak. Sekali lagi nama kak Cilik diseru. Kali ini di bahagian ruang halaman rumah. Aku gagahkan juga membuka pintu untuk melihat. Oh! Ikhsan anak bang Pipon rupanya. Aku segera masuk semula ke dalam untuk memanggil kak Cilik. Ternyata Opah yang muncul lalu terus pergi menemui Ikhsan.

Ikhsan bertanya kepada Opah waktu untuk bergerak ke Tarutung kerana seperti yang dijanjikan adalah pada jam 4. Ternyata sekarang sudah hampir jam 5. Kak Cilik pula masih dilihat tidur di dalam kamarnya. Aku sangat memahami kak Cilik kerana selepas tiba di rumah semalam. Dia dan Opah segera masak untuk menyediakan bekalan makan untuk program hari ini. Tanpa melengahkan masa, aku pun segera masuk ke bilik mandi untuk mempersiapkan diri.

Akhirnya selepas mengambil kak Maya dan anak kak Nana, adib yang masih kecil dan nakal itu. Pada jam 6 pagi barulah kami semua bergerak menuju ke Tarutung. Jumlah kesemua yang turut serta adalah 8 orang termasuklah Sakinah, anak kak Cilik dan Ikhsan. Kereta yang sebenarnya van ini memang cukup-cukup muat.  

Aku sejujurnya dari semalam lagi mengetahui bahawa kami memang tidak akan pergi pada jam 4, kerana ia hanya sekadar janji belaka. Alah janji Melayu. Sama sahajalah di Malaysia atau di Indonesia. Kitakan serumpun! Kata hatiku sambil tersenyum sendirian di dalam kereta. Ha ha. 

Perjalanan ke Tarutung mengambil masa selama 7 jam lamanya. Tetapi jika dilihat dari peta, dari kota Medan ke Tarutung ibarat dari Perak ke KL iaitu sekitar 3 jam. Tetapi disebabkan di Medan tidak terdapat highway seperti di Malaysia maka perjalanannya mengambil masa yang panjang, ditambah pula terpaksa mengharungi jalan-jalan yang sempit dan berbukit-bukit.

Bang Pipon yang ibarat pelumba F1 di Medan, terus memecut laju. Satu demi satu kereta-kereta yang terdapat di hadapannya di potong dengan cermat sambil tangannya memegang sebatang rokok. Aku pula menikmati melihat kecantikan dan keindahan gunung-ganang dan pokok-pokok menghijau yang menghiasi persisiran jalan. Betapa nyamannya melihat sumber alam ciptaan Tuhan.

Seingat aku jam 12 tengahari kami tiba di destinasi pertama, Tarutung. Sewaktu itu, bukan bang Pipon lagi yang memandunya tetapi anaknya Ikhsan. Mereka berganti semenjak di Danau Toba lagi kerana bang Pipon merasa mengantuk. Bagaimanapun, kedua-dua mereka memandu kereta dengan cara dan gaya yang sama. Laju dan tenang sambil rokok di tangan. Seperti kata pepatah ‘Bapak borek, anak rintik’.

Kereta di parkir di hadapan sebuah papan tanda yang tertulis “Selamat Datang ke Pemandian Air Soda, Desa Parbubu”. Sebaik sahaja keluar dari kereta. Aku dapat merasakan cuacanya yang agak sejuk memandangkan kedudukannya di atas gunung. Memang nyaman sekali rasanya. Sekurang-kurangnya bolehlah menikmati cuaca sebegini sebelum kembali ke Medan yang ternyata panas.

Kami segera menuju ke arah tempat pemandian tersebut. Wah! Aku begitu terkejut sekali melihat di situ terdapat sebuah kolam air yang terletak di kawasan sawah padi! Kelihatan ramai para pengunjung bermandi-manda di situ. Aku merasa pelik. Mengapa kita ke sini hanya untuk melihat kolam air yang bagiku tidak ada apa-apa yang unik.

Dari kanan sekali bang Pipon, isterinya, kak Iten, Adib anak kak Nana, kak Maya, Tom Cruise, kak Cilek dan di belakangnya Ikhsan anak kak Iten dan bang Pipon serta Sakinah, satu-satunya anak kak Cilek.
 
Kak Cilik dan Adib si kecil telah pun berendam di dalam kolam sebaik sahaja mereka tiba. Sementara yang lain pula sedang menyediakan juadah makan tengahari yang dibuat oleh kak Cilik pada hari semalam. Pengunjung Muslim kebanyakannya membawa makanan sendiri di sini memandangkan kawasan di Tarutung ini bermajoriti orang bukan Islam. Jadi makanannya tidak dijamin halal.

Ayam goreng, udang sambal, ikan sambal dan sayur tumis kacang sudah cukup mengiurkan aku! Kami pun menjamu selera sambil bang Pipon menceritakan tentang keunikan kolam air itu. Katanya air yang terdapat di dalam kolam ini merupakan air soda! Ia dijumpai oleh seorang yang bernama Minar Shite. 

Benar! Ianya memang unik. Warna airnya kemerah merahan dan berbuih-buih. Sekiranya kita berendam di dalam air tersebut. Badan kita akan terasa begitu ringan dan selesa sementara mata akan menjadi pedih jika terkena percikan air tersebut. Cubalah rasa airnya. Ternyata seperti air soda sekalipun tidak begitu manis.

Kolam air soda ini hanya terdapat di dua buah negara sahaja, iaitu di Medan, Indonesia dan di Venezuela. Jangan kata pelancong asing sahaja yang tidak mengetahui tentang kewujudan pemandian air soda ini. Bahkan kebanyakan orang Indonesia sendiri pun tidak tahu menahu.Sememangnya empunya kolam air ini tidak mahu menjadikan tempat tersebut menjadi perhatian orang ramai. Terima kasih kak Cilik, kak Iten, Bang Pipon dan Atok yang membawaku ke sini! Rasa terharu. 

Kini satu masalah timbul. Bang Pipon mengajak aku turut berendam di dalam kolam air soda tersebut kerana katanya sangat merugikan jika datang jauh selama 7 jam perjalanan tetapi hanya sekadar melihat. Aduh! Tidak pernah terlintas dalam fikiranku untuk mandi atau berendam. Apatah lagi untuk membawa baju mandi!

Tiba-tiba, kak Iten muncul dengan sepasang baju renang lengkap dengan seluar. Lidah aku betul-betul terkelu. Aku merasa begitu terkejut dan tanganku berat untuk menerima baju mandi pemberian kak Iten itu. Entah bila pula dia mendengar perbualan aku dengan bang Pipon. Lalu kak Iten melihat pula kakiku yang berkasut ini. Dia sekali lagi ke kedai untuk membeli sepasang selipar untukku. Ah! Aku memang merasa malu dan berterima kasih di atas kebaikannya.

Berendam di dalam air soda dengan pakaian mandi hadiah kak Iten

Aku ditemani Ikhsan menuju ke arah kereta untuk menyalin pakaian. Kini aku merasa lebih segar lagi. Aku berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada kak Iten. Memang sangat baik orangnya. Sudahlah dimasaknya untuk aku ibarat seorang Raja. Hari ini dibelinya pula pakaian mandi untukku. Semoga Allah sentiasa merahmati kak Iten sekeluarga!

Akhirnya aku turut serta bersama-sama yang lain masuk ke dalam kolam air tersebut. Terasa kehangatannya dan ia benar-benar nikmat. Kali terakhir aku mandi di dalam kolam pun mungkin 10 tahun yang lalu! Bermacam ragam manusia di situ aku dapat lihat. Ada yang siap shampoo rambut, ada yang bermain bola dan ada juga yang terjun ke dalam kolam ibarat seorang penerjun profesional. Itu semua dilakukan di dalam sebuah kolam air yang kecil. Ha ha.

Aku bertutur dengan ahli keluarga Medanku dalam Bahasa Melayu slang Malaysia kerana aku sama sekali tidak pandai mengubah cara dan gaya percakapan mereka. Disebabkan itulah aku menjadi perhatian kebanyakan pengunjung yang berada di situ. Mereka tenung sahaja wajahku dengan penuh tanda tanya. Terkadang itu kami berbual sedikit sementara kak Maya pula tidak henti-henti menyakat aku. 

Selepas sejam berendam. Kami pun keluar daripada kolam air tersebut untuk menukar pakaian dan menuju ke destinasi seterusnya. Eloklah sangat kerana aku boleh melihat begitu ramai pengunjung yang menunggu giliran mereka masuk. Sebaik sahaja keluar daripada air soda yang hangat itu. Aku terus menggigil kesejukan yang amat diselangi Opah. Ha ha. Memang lawak juga pada waktu itu.

Aku melihat Ikhsan yang baru sahaja menukar pakaiannya dengan membawa tuala. Lalu terus sahaja aku meminta tualanya bagi mengelap tubuhku yang basah dan sejuk. Aku segera menyalin pakaianku seperti sedia kala. Sambil menunggu yang lain bersiap. Aku dan Ikhsan berdiri di samping jalan sambil melihat keindahan Tarutung. 

Selang beberapa minit. Keluarga yang turut berendam bersama aku tadi datang menuju ke arahku. Ibunya tidak semena-mena memberi bayinya kepadaku dan mengatakan “Ambillah gambar dengan anak saya”. Eh macam artis pula. Aku terima sahajalah, tambahan pula bayi itu sangat comel seperti aku. Ha ha. 

Bergambar dengan bayi orang Batak yang comel

Habis bergambar, mereka mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi. Kak Cilik and the gang pun terus menerus menyakat aku. Katanya aku menjadi terkenal di situ. Aku yakin itu semua sebab penggunaan bahasaku dan wajahku yang berjambang dan bermisai yang sama sekali tidak seperti orang-orang Indonesia yang clean and clear tanpa sehelai janggut. Kata Ikhsan, keluarga yang meminta aku bergambar dengan bayi tersebut adalah daripada keturunan Batak.

Badan terasa begitu segar sekali. Perut pun sudah kenyang. Lalu kami semua berangkat ke destinasi kedua iaitu Danau Toba yang memakan masa selama 3 jam dari Tarutung. Sebenarnya kami telah pun melalui dan berhenti sebentar di Danau Toba untuk bang Pipon menukar pemandu dengan Ikhsan. Tetapi kami tidak berjalan-jalan di sana kerana rencananya biarlah terus sahaja ke Tarutung dahulu. 

Nanti balik bolehlah singgah di situ dan lokasi ke rumah menjadi lebih dekat. Perancangan yang baik dan logik. Kami tiba di Danau Toba sekitar jam 4 petang. Seperti biasa bukannya sukar untuk ke sesebuah destinasi memandangkan jalannya yang tidak sempurna. Tetapi itu semua aku tidak kisah. Bagi aku itu adalah sebuah pengalaman yang berharga dan yang penting sekali.Kami sampai dengan selamatnya. 

Mengikut sejarah. Danau Toba ini dikatakan terbentuk sewaktu ledakan gunung berapi sekitar 75,000 tahun yang lalu. Sekarang cuaca tidak lagi sejuk seperti awal pagi tadi bahkan panas yang amat! Berpeluh-peluh aku dibuatnya. Kami tidak merancang untuk duduk lama di situ. Mereka sekadar bawa aku ke sana untuk melihat keindahan tasik Toba. 

Tasik Toba yang begitu luas.

Aku yang masih belum banyak menggunakan wang sendiri pun mengambil keputusan untuk membeli sebuah baju batik kepada ayahku. Harga asalnya yang agak mahal bertukar menjadi murah selepas kak Cilik berurusan dengannya. Mudah sekali untuk membeli belah sekiranya terdapat warga tempatan di sisi kita. Para penjual pun bolehlah bertoleransi atau tidak mengambil kesempatan.

Kemudian kami meneruskan lagi perjalanan ke destinasi terakhir iaitu Simarjarunjung yang terletak di wilayah Simalungun yang hanya mengambil masa selama 2 jam dari Danau Toba. Sebutannya sahaja dapat membuatkan lidah terbelit. Sekitar jam 6 petang kami tiba di sana. Matahari hampir terbenam dan cuaca kembali sejuk.

Boleh pula ditanyanya seperti itu!
Subhanallah! Ucapan kalimah memuji kebesaran Allah muncul dari mulutku sebaik sahaja melihat keindahan Simarjarunjung. Dari atas bukit aku dapat melihat tasik Toba yang terbentang luas di hadapanku. Aku segera mengajak Ikhsan mengambil gambar. Lokasinya memang sesuai untuk orang yang suka bergambar apatah lagi berswafoto seperti Sakinah, anak kak Cilik yang katanya seorang yang profesional! Ha ha.

Indah dan hijau. Di atas gunung Simarjarunjung.
Puas bergambar. Kami pergi ke sebuah bangsal khas untuk makan petang dengan lauk pauk yang tidak habis di makan tengahari tadi. Semuanya cukup untuk setiap orang. Perutku pun kenyang. Aku dapat rasakan yang berat badanku semakin meningkat naik. Alhamdulillah, petanda yang positif sebenarnya. 

Selepas beristirehat. Akhirnya kami pulang semula ke kampung halaman di Begadai yang sudah tidak begitu jauh lagi dengan masa perjalanan 2 jam sahaja. Aku yang keletihan tidur sahaja di dalam kereta. Sebaik kelopak mataku dibuka, aku sudah pun tiba di rumah kak Cilik. Alhamdulillah. Maka aku pun masuk ke dalam membersihkan diri dan solat lalu tidur. Sambil berharap hari esok dibuka dengan lembaran baru.


Bersambung...

No comments: