Friday, July 28, 2017

Catatan seminggu di Kota Medan (Hari Ketiga)


22 Julai 2017

Azan subuh yang mendayu-dayu dan menenangkan jiwaku berkumandang daripada corong sebuah Masjid yang terletak di kawasan tempat tinggalku seawal jam 5 pagi. Tatkala itu, aku merasa begitu berat sekali untuk bangkit dari kamarku yang empuk bersama angin sejuk yang keluar daripada penghawa dingin dek keletihan daripada aktiviti-aktiviti semalam. Lalu aku kembali terlena dan tersedar semula pada jam 6 pagi.

Lantas aku bangun dan mencapai tualaku yang berada di dalam bagasi untuk mandi mempersiapkan diri bagi menunaikan solat subuh. Di luar, kelihatan kak Cilik sedang mengemas di dapur sementara Opah pula sedang duduk di luar bersembang dengan seseorang. Tanpa melengahkan masa, aku terus sahaja masuk ke kamar mandi.

“Ayuh Thaqib makan”. Ujar kak Cilik selepas melihat aku keluar daripada bilik tidur. Nasi lemak ayam bercampur bihun tersedia di atas meja bersama-sama teh panas kegemaranku. Opah sekadar tersenyum sambil menjemput aku bersarapan. Sekarang, matahari telah pun terbit, maka aku dapat melihat sekitar perkarangan rumah kak Cilik. Ternyata ianya begitu indah sekali.

Di sebelah tepi dan belakang rumahnya terdapat sebuah ladang sawah padi yang begitu luas. Di hadapan rumahnya pula terdapat rumah bang Pipon dan keluarganya. Kata Opah, pada asalnya, rumah yang bang Pipon menginap itu merupakan rumah lamanya. Dia berpindah ke rumah kak Cilik sejurus selepas suaminya meninggal dunia. Mungkin Opah mahu menenangkan fikirannya. 


Sawah padi yang indah.

Pagi itu, aku sekadar duduk di halaman rumah sambil menikmati badai angin bayu yang sejuk menghembus ke arahku sambil melihat kerenah kucing-kucing yang datang meminta makanan. Opah dan kak Cilik pula berbual dengan sanak saudaranya seperti kak Maya yang pernah bekerja di Malaysia tahun lalu dan dihantui pengalaman buruk sewaktu di tahan di penjara Malaysia selama 6 bulan atas kesalahan undang-undang.

Perbualan yang rancak itu terhenti seketika selepas kedatangan seorang wanita yang kelihatan begitu peramah seperti kak Cilik dan lain-lain. Aku diperkenalkan dengannya. Kata Opah, itulah isteri bang Pipon. Namanya Lailatul Mardiah dan panggilannya ialah Iten. Kak Iten pada awalnya merasa bingung melihat aku yang tidak pernah dilihatnya. Aku pula memainkan perananku sebagai tetamu dengan memulakan perbualan dengannya.  

Kata kak Cilik, perancangan untuk hari ini ialah membawa aku bersiar-siar di sekitar kampung halamannya yang diberikan nama Bedagai. Kampung Bedagai yang aku menginapi ini terletak sejauh 60 kilometer daripada kota Medan. Kawasannya yang dikelilingi dengan sawah padi membawa aku kembali mengingati bumi Kedah yang juga merupakan kampung halamanku yang turut digelar sebagai jelapang padi.

Sejurus kemudian, bang Pipon tiba di rumah dengan motorsikalnya bak orang muda. Dia mengajak aku ke tapak projek perumahan yang dijalankan oleh bang Wiwi. Tempatnya hanya terletak di seberang sawah padi dan boleh berjalan merentasinya. Tetapi bang Pipon mahu aku membonceng motorsikal berkuasa tingginya. 

Tertulis ‘Bedagai Residence’ di pintu masuk kawasan perumahan tersebut yang tidak berpagar. Bang Pipon menghantarku ke rumah kak Nana dan berlalu pergi. Rupanya rumah kak Nana itu turut merupakan pejabat untuk urusan pembelian rumah. Sewaktu aku melangkah masuk ke dalam. Kelihatan seorang lelaki berkulit sawo matang sedang duduk dengan seccawan teh menjemputku masuk dengan senyuman. Rupanya lelaki tersebut adalah suami kepada kak Nana, Giok namanya dan turut merupakan seorang pekerja di projek perumahan tersebut.

Perbualan kami begitu rancak, daripada isu projek perumahan sehinggalah kepada isu politik serantau. Kak Maya muncul di pejabat. Jelasnya, dia bekerja di projek perumahan ini sebagai pembantu promosi sementara pengurus projek ini ialah kak Cilik! Ternyata orang-orang yang bekerja untuk projek perumahan Bedagai Residence adalah daripada kalangan ahli keluarga mereka. Sementara modalnya pula datang daripada bang Wiwi yang dikatakan ‘big boss’. Aku benar-benar kagum!

Kereta besar berwarna hitam milik Bang Wiwi diparkir di hadapan pejabat itu. Kak Nana menjemputnya masuk dengan membawa makanan dan minuman untuknya bersarapan. Selepas habis bersarapan. Bang Wiwi menceritakan kepada aku tentang projek perumahan tersebut. Projek ini dijalankan sekitar 4 tahun yang lalu. Dan sehingga kini terdapat sebanyak 15 unit rumah telah terjual. Alhamdulillah.

Kawasan perumahan ini mempunyai 5 bahagian yang dipecahkan kepada blok A, B, C, D dan E melingkungi kedai makan, kedai jual bahan-bahan pembinaan rumah dan ruang bersukan seperti gelanggang badminton. Sementara terdapat beberapa jenis saiz rumah dengan harga yang berbeza seperti RM 36,000, RM 47,000, RM 54,000 dan yang paling besar ialah RM 69,000. Bang Wiwi menerangkan kepadaku dengan menggunakan brocher yang mempunyai informasi rumah dengan terperinci. 

Kemudian dia mengajak aku berjalan melihat sekitar kawasan perumahan tersebut. Cuaca yang panas menyengat tidak menghentikan langkahku untuk menulusuri jalan melihat beberapa buah rumah yang telah pun siap dengan cantik sekali. Terdapat beberapa buah rumah yang masih dalam proses pembinaan. 

Rumah yang cantik, sederhana dan harga yang berpatutan di Bedagai Residence. Projek perumahan bang Wiwi.

Kata bang Wiwi kadang-kadang sebuah rumah itu boleh disiapkan sekitar 3 bulan. Terpulang kepada jenis rumahnya. Aku turut melihat pelbagai jenis pekerjaan oleh buruh-buruh di situ. Ada yang sedang mengemas, mengecat dan menukang. Aku begitu kagum dengan perancangan dan pencapaian bang Wiwi. Orangnya mempunyai visi dan misi yang jelas dan di dalam jangka masa yang panjang. 

Bang Wiwi juga seorang yang begitu pemurah dan suka membantu. Aku mendoakan supaya projeknya berkembang maju dan mendapat sambutan dari masyarakat. Aku dipanggil Opah ke sebuah pondok yang terletak di tengah sawah padi. Di sana, kelihatan beberapa orang lagi sedang duduk berbual sambil menikmati buah jambu segar yang diambil dari kebun tersebut. Di sisi kanannya pula, terdapat sebuah tanaman pokok cili yang berwarna kemerah-merahan. 

Pokok-pokok cili itu milik Opah! Sementara sawah padi yang seluas 4 hektar itu adalah milik bang Pipon dengan mempunyai pekerja lebih 20 orang! Wah. Tidak kusangka bahawa sawah padi tersebut adalah milik bang Pipon. Buah pisang dan mangga turut kelihatan. Kesemua mereka tidak perlu ke luar untuk membeli beras dan buah buahan. Cukup sekadar di ambil dari kebun-kebun tersebut. Bukan sahaja percuma bahkan lebih segar dan selamat.

Ibarat buah padi, makin berisi makin rendah. Jangan seperti lalang, makin lama makin tinggi. Makin kaya dan banyak ilmu makin merendah diri. Jangan pula menjadi sombong dan tidak berbudi. Aku kagum dan terinspirasi dengan cara hidup kekeluargaan mereka. Aku yang kerdil ini tidak tahu bagaimana untuk membantu mereka, cukup setakat meminta bang Wiwi memberikan beberapa brocher berkenaan perumahan tersebut untukku bawa ke Malaysia. 

Sebelum menunaikan solat Zohor, aku dijemput bertandang ke rumah bang Pipon dengan menelusuri jalan di sawah padi. Seperti yang aku katakan bahawa bang Pipon merupakan seorang yang pendiam. Tetapi sekali dia mula berbicara, aku pasti akan menjadi fokus. Terang bang Pipon, dulu dia pernah bekerja sekejap selama 3 bulan di sebuah restoran yang terletak di Damansara. Empunya restoran tersebut merupakan seorang warga Kelantan.

Bang Pipon sangat menghormatinya dan merasa begitu selesa bekerja di restoran tersebut. Kata bang Pipon lagi, sebenarnya kebanyakan majikan di Malaysia adalah baik. Sekiranya anda bekerja, pastikan anda jujur dan amanah. Jika tidak, sudah tentu majikan anda akan hilang percaya dan bertindak dengan kasar. Kata bang Pipon yang menepis tuduhan-tuduhan sebahagian pekerja asing yang menemplak majikan-majikan di Malaysia. 

Kak Iten muncul dari dapur dengan pelbagai jenis lauk pauk seperti udang goreng sebagai juadah makan tengahari. Selang beberapa minit kemudian. Kak Cilik pula datang dengan membawa ikan bakar. Aku sangkakan makanan-makanan tersebut dibuat untuk kami makan bersama. Ternyata mereka hanya membuatnya untukku! Terasa seperti seorang Raja, ha ha. Sekali lagi aku menyentapnya dengan menghabiskan seperiuk nasi. Mahu atau tidak, aku terpaksa memuji masakan kak Iten dan kak Cilik yang aku katakan terlalu sedap dan menyengat!

Raja yang merendah diri. Semua makanan itu milikku. Maafin buk

Demi membalas jasa baik kak Iten yang menjamuku tadi. Lalu aku mengangkat sebahagian pinggan mangkuk dan mula membasuh. Kak Iten merasa terkejut dan dengan lantasnya dia menghalang perbuatan aku itu. Lalu terjadilah gusti WWE yang dimenangiku tanpa tali pinggang juara. Aku katakan pada kak Iten, dia telah memasak kepadaku, maka berilah peluang untuk aku membasuh sebahagian pinggan. Kak Iten akur.

Udang goreng dibuat oleh kak Iten dan dihabiskan olehku. Nak ke?

Selepas menunaikan solat, aku kembali semula ke rumah kak Cilik dan duduk bersembang dengan Opah. Opah yang berumur 77 tahun ini sudah tentu penuh dengan ilmu dan pengalaman yang perlu didengar dan dihadam. Sambil membetulkan posisi duduk, aku merenung ke arah Opah dan mendengar dengan cermat setiap bait-bait kata yang keluar daripada mulutnya.

Opah memulakan cerita dengan kisah kehidupannya sewaktu muda sambil menunjukkan beberapa keping gambar. Orangnya begitu kuat berpegang dengan ajaran Islam. Katanya, kita perlu sentiasa membantu orang yang susah kerana harta yang ada perlu dikongsi. Oleh sebab itulah Opah sangat dikenali di kawasan perumahan tersebut. Ramai orang yang menghargai bantuan-bantuan yang diberikannya.

Aku bertambah-tambah kagum dengan Opah selepas diberitahu bahawa Masjid yang terdapat di kawasan perumahan tersebut diusahakan olehnya dan anak-anaknya yang lain. Masjid DT. Zainal Abidin didirikan untuk memudahkan penduduk Muslim di Desa Sei Rampah dan kawasan sekitarnya beramal ibadah dan menunaikan solat. 

Bahkan, Masjid yang sedia ada juga tidak mampu untuk menampung jumlah jemaah yang kian meningkat di kawasan tersebut. Maka inisiatif telah diambil untuk mendirikan sebuah lagi Masjid. Bagaimanapun, Masjid ini masih perlu dibaiki dan ditambah baik dengan jumlah modal mencecah RM 200,000. Opah juga masih kuat dan bertenaga untuk menuntut ilmu. Setiap minggu dia pasti akan menyertai kuliah atau memberi kelas agama di Masjid.

“Malam ini jam 4 pagi kita akan bertolak ke Tarutong ya”. Maklum kak Cilik kepada aku. Aduh, awal sekali, keluh aku. Kak Cilik menambah lagi. Katanya kami terpaksa keluar di awal pagi kerana perjalanan dari rumah ke sana memakan masa selama 7 jam lamanya! Jalannya bukanlah seperti di lebuhraya Malaysia, kami terpaksa mengharungi jalan sempit yang bergunung ganang.

Tarutung, Si Marjarunjung dan Danau Toba merupakan destinasi aku pada hari keesokannya. Selepas makan malam dengan menjamu bakso di sebuah kedai bersama keluarga kak Cilik dan kak Maya. Lalu kami pulang dan tidur awal supaya esok dapat bangun awal pagi dan memulakan perjalanan.

Bersambung...

No comments: