Thursday, July 27, 2017

Catatan seminggu di Kota Medan (Hari Kedua)



21 Julai 2017

Selesai solat subuh, aku terus masuk ke kamar mandi bagi membersihkan diri dan bersiap untuk ke destinasi seterusnya. Pada sekitar jam 9 pagi pula, kami semua berangkat keluar dengan dua buah kereta menuju ke restoran untuk bersarapan pagi. Lokasi kedainya terletak di sebalik jalan raya, kata bang Wiwi di sini kita akan makan Nasi Soto. Aku menurut sahaja sambil memesan teh tarik. Dakwa pelayan, di sini tidak ada teh tarik, yang ada teh panas. Aku pun mengiyakan kerana sangkaan aku tehnya pasti berbeza.

Nasi Soto pun tiba untuk dijamah aku, baunya sahaja membuatkan aku merasa ingin disentap terus. Nasi tambah diberi hanya sepinggan, tetapi disebabkan sedap yang amat, aku pun menyentap nasi-nasi tambahan daripada bang Wiwi dan kak Nana. Mereka terus menerus menyokongku sambil meminta supaya aku menambah lagi. Kegembiraan terpancar di wajah mereka. Ternyata mereka sangat terhibur melihat aku menjamu selera dengan bersemangat. Malu? Tidak sama sekali kerana rezeki Allah itu jangan ditolak dong!

Teh panas tiba. Dengan penuh keterujaan aku menghirupnya. Aik! Sama sahaja macam teh tarik. Apa bezanya? Kata mereka teh panas ‘tidak ditarik’ seperti teh tarik. Ha ha, apa la yang depa dok cakap ni, bisik hatiku. Tetapi itulah realitinya, di Indonesia banyak sahaja bahasanya yang sama tetapi perlu digunakan mengikut kesesuaiannya. Jika aku minta teh kurang manis, mereka tidak akan faham kerana di sini mereka sebut ‘kurang gula’. 

Bukan itu sahaja, istilah ‘awak’ pula di Malaysia membawa maksud ‘kamu’ tetapi tidak untuk masyarakat Melayu di sini. Istilah ‘awak’ itu merujuk kepada ‘saya’. Oleh itulah kadang-kadang aku dan mereka merasa keliru tatkala berbual. Bila dia cakap ‘awak dah makan’, aku pun cakap ya sedangkan mereka ingin mengatakan ‘saya dah makan’. Maka berawak-awaklah kami semua di siang hari, kemarau panjang seperti lirik lagu Sharifah Zarina, langit ketujuh. 

Kini aku mula merasa segan kerana sejak semalam lagi mereka telah membayar segala kos makan dan minum aku. Wang rupiah yang aku bawa dari Malaysia tidak digunakan walau sesen lagi. Setiap kali aku ingin membayarnya, pasti akan ditolak oleh mereka secara berterusan. Aku akur sahaja walau merasa malu. Aku membayar segala kebaikan mereka dengan menunjukkan sikap dan adab yang baik sambil memberi penghormatan yang tinggi. 

Layanan baik mereka mengingatkan aku sewaktu di Turki dulu. Orang-orang Turki adalah peramah, baik hati dan suka membantu. Cuma yang bezanya ialah orang-orang Indonesia itu lebih lembut dan santun sedangkan orang-orang Turki itu keras dan tegas perwatakan mereka. Rakyat Malaysia pula apa kurangnya, kaya dengan budi pekerti yang memuliakan tetamu. Kerana itulah seorang guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat, Walter T Yurt telah jatuh cinta dengan masyarakat kita lalu mengambil keputusan untuk menetap di Malaysia. 

Seusai menjamah sarapan yang membuntingkan perutku itu. Kami berangkat pula ke Jalan Masjid yang terletak di tengah kota Medan. Di situlah tempat nenek moyangku pernah bermastautin sebelum berhijrah ke Malaya pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Seperti yang diketahui, orang terawal yang masuk ke Malaya ialah Che Mat Deli pada tahun 1890 dan menetap di Kuala Muda, Kedah. 

Ahmad bin Md Isa atau Che Mat Deli orang pertama ke Malaya dan Sofiah Md Isa, isteri kepada Syekh Muhammad dan adik kepada Che Mat Deli masuk ke Malaya tahun 1920
Kemudian pada tahun 1920 pula, adiknya Sofiah yang juga merupakan isteri kepada Syekh Muhammad beserta anak-anak mereka pula masuk ke Malaya mengikut abangnya. Maka dari mereka-mereka inilah, bermulanya kelahiran keluarga aku di Malaysia. Salah seorang anak mereka ialah Azmi Muhammad yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara ke 3 dan Mustaffa, adiknya pula adalah Datukku yang mempunyai 13 orang anak dan salah seorangnya Shaker, iaitu ayahku.

Mustaffa Muhammad. Datukku yang sangat dicintai 1911-1991

Aku merasa begitu gembira dan berbangga kerana boleh mengetahui tentang susur galur keturunanku. Sedangkan, bukan semua orang yang mendapat kenikmatan seperti ini. Mengetahui keturunan bukanlah untuk berbangga sebaliknya untuk belajar dari kehebatan, kezuhudan dan keilmuwan mereka. Kita yang masih wujud, ayuhlah rapatkan hubungan silaturrahim sesama keluarga. 

Syekh Muhammad Abdul Hamid. Moyangku (1860/70-1952) seorang yang kuat pegangan agamanya
Selepas mendapat tempat parkir, kami keluar berjalan menuju ke arah kubur. Subhanallah, cuaca ketika itu benar-benar panas, keringat mengalir pantas membasahi tubuh, terasa seolah-olah matahari benar-benar berdiri tegak di atas kepala. Selang beberapa minit kemudian, kami tiba di sebuah tapak perkuburan yang kecil. Lokasinya di sebalik bangunan-bangunan usang. Kawasan perkuburannya langsung tidak dijaga. Kami terpaksa berjalan di sebalik rumput-rumput yang tumbuh memanjang.

Aku melihat di sana terdapat sekitar dua atau tiga buah kubur, “Ha Thaqib! Inilah kubur Datuk Rastam dari Urung Sukapiring”. Kata kak Cilik sambil memanggil aku ke arahnya. Aku benar-benar terkejut. Tidak kusangka bahawa itu merupakan kubur moyangku, Datuk Rastam yang mangkat pada tahun 1894. Lalu aku bersama bang Wiwi dan bang Pipon mencabut rumput-rumput yang tumbuh di atas kuburnya sehingga kami dapat membaca tulisan yang berada di batu nisan tersebut. Sah! Itulah kuburnya.

Datuk Rastam meninggal pada tahun 1894

Di belakang kubur Datuk Rastam pula merupakan kubur ayahnya, Datuk Shahdewa. Di batu nisannya turut terdapat nama-nama ayah dan moyangnya. Sungguh mereka ini adalah datang daripada keluarga kesultanan yang pada suatu masa dahulu sangat digeruni dan dihormati. Aku sarankan bagi para pembaca yang sangat dicintai dan tidak boleh dinikahi ini supaya search di google tentang Kesultanan Deli, Urung Sukapiring, Che Mat Deli dan Tun Azmi Muhammad. Insya Allah lebih jelas nanti. 

Salasilah Datuk Shahdewa ditulis pada batu nisannya



Kami meneruskan ke tanah perkuburan wakaf Dato’ H. Muhammad Ali yang terletak bersebelahan dengan pasar sayur sayuran. Di sini lebih banyak kubur-kubur dari kalangan anak-anak Datuk Rastam seperti Datuk Badshah, Datuk Muhamad dan Datuk Mahja juga sanak saudaranya. Perkuburan di sini lebih tersusun, terjaga dan bersih. Di bahagian belakangnya pula terdapat sebuah Masjid yang bernama Gang Bengkok.

Tanah perkuburan wakaf yang terjaga rapi, belakangnya pula Masjid Gang Bengkok

Masjid ini turut dikenali sebagai Masjid lama kerana warna yang terdapat di Masjid ini didominasi oleh warna kuning dan hijau dan merupakan salah sebuah daripada tiga Masjid yang tertua di Medan. Masjid ini siap dibina pada tahun 1874 di atas tanah wakaf Datuk Muhammad Ali atau dikenali sebagai Datuk Kesawan.

Sejujurnya aku sekadar mengambil gambar-gambar yang tertentu sahaja seperti gambar beberapa buah kubur dan masjid kerana aku begitu khusyuk mendengar penjelasan mereka dan menikmati perjalananku dengan sebaiknya. Tidak mengapa kurang gambar, asal banyak pengalaman, jauh bisik lubuk hatiku. Selepas lebih sejam di sana. Aku dibawa menuju ke rumah Tengku Mahyuni. 

Aku pernah bertemu dengannya juga sewaktu di KL tempoh lalu. Aku perasan Tengku Mahyuni ini sewaktu di dalam dewan lagi. Dia, atok, kak Nana dan kak Musniaty duduk di bahagian depan sekali. Orangnya bukan sahaja peramah, bahkan lucu sekali. Gurauan-guraunnya begitu mencuit hati aku ditambah pula dengan gayanya seperti mak Datin. 

Kami bertandang ke rumahnya hanya sekitar 15 minit sahaja kerana kurang sejam lagi, solat Jumaat akan bermula. Kami perlu bergegas ke kota memandangkan takut tersekat dengan kesekakan trafik. Sebaik tiba di sana, azan Jumaat pun telah berkumandang, Bang Pipon memakirkan keretanya di hadapan sebuah pusat membeli belah yang dipisahkan dengan jejantas di sebalik jalan. Masjid Raya memang megah dan besar. Kelihatan ramai para jemaah berpusu-pusu masuk ke dalam Masjid. 

Di hadapan pintu masuk Masjid Raya. Boleh google tengok Masjidnya secara keseluruhan

Sebaik sahaja kami masuk ke perkarangan masjid. Ramai daripada anak-anak muda di situ meluru ke arah kami sambil meminta supaya kami meletakkan kasut ditempat yang disediakan. Tetapi semestinya perlu dibayar, entah berapa rupiah pun tidak diketahui kerana yang membayarnya adalah bang Wiwi. Di Indonesia anda boleh melihat pelbagai jenis pekerjaan untuk menyara hidup. Berhentikan kereta untuk memberi ruang kepada kereta lain keluar masuk ke jalan pun merupakan sebuah pekerjaan. Terkadang itu aku nampak bang Pipon membayar 2000 rupiah iaitu sekitar 60 sen.

Suasana jemaah dan khutbah Jumaat sama juga seperti di Malaysia. Tidak ada bezanya, sebaik sahaja habis solat Jumaat, aku terus bangkit untuk menunaikan solat jama’ qasar. asar dua rakaat. Orang ramai berpusu-pusu keluar dari Masjid, bang Wiwi masih duduk di situ melayan seorang rakannya. Kemudian. Bang Wiwi mengajak aku bertemu dengan Raja Muda, iaitu Tengku Hamdi Osman Delikan, yang merupakan seorang Pemangku Sultan Deli. 

Aku begitu beruntung kerana dapat bertemu dengan Raja Mudanya kerana kata kak Cilik, bukan calang-calang orang boleh berjumpa dengannya. Tetapi disebabkan bang Wiwi merupakan seorang yang dihormati dan berpengaruh, maka pertemuan itu menjadi kenyataan dan semestinya aku mencatatkan pertemuan ini di dalam lembaran sejarah hidup aku. Raja Muda duduk bersila di suatu sudut berdekatan tiang Masjid. Aku pun bersalaman dengannya. Raja Muda memulakan perbicaraannya denganku dalam bahasa Inggeris.

Aku di sebelah kanan sekali bersama Raja Muda, bang Wiwi dan Tengku Haris. Cahaya itu tidak ada kaitan dengan kedatangan malaikat atau cahaya nur. Itu cahaya matahari ye.

Aku menjawabnya di dalam bahasa Melayu dek kerana merasa sedikit kekok untuk bertutur di dalam bahasa Inggeris dengan warga serumpun. Aku bertanyakan beberapa soalan penting kepada Raja Muda seperti kisah riwayat hidup Syekh Muhammad yang pernah berkhidmat di Istana Maimun dahulu. Katanya dia tidak pernah mendengar namanya di sana. Akan tetapi dia mengenali rapat dengan Tun Azmi yang merupakan anak kepada Syekh Muhammad. 

Pertemuan itu membuatkan aku sedikit kecewa kerana masih belum mendapat jawapannya tetapi berbangga kerana dilayan dengan ramah dan mesra oleh Raja Muda. Turut bersama-samanya ialah Tengku Haris yang aku kenali di laman sosial, Facebook. Ternyata bukan calang-calang orangnya. Lelaki muda yang merendah ini merupakan Raja Muda Kerajaan Karang Tamiang. Dia seorang yang peramah dan santun.

Dengan pakaian putih bersihnya, dia mengajak kami makan tengahari bersama Datuk Fauzi, seorang pemangku Datuk Sukapiring dan Tengku Ifran, seorang ketua komuniti pecinta sejarah Tamiang. Aku tertarik dengan Tengku Ifran kerana dia menyarung baju Melayu lengkap dengan sampin. Bila ditanya mengapa memakai seperti ini lalu katanya untuk kembali menghidupan budaya berbaju Melayu yang kian pudar di kota Medan. 

Hari ini merupakan hari yang padat dengan lawatan dan pertemuan. Aku yang gagah perkasa ini masih lagi bertenaga. Tidak mahu aku duduk sahaja, lalu aku bertanyakan kepada kak Cilik tentang destinasi seterusnya. Katanya mereka akan bawa aku ke Istana Maimun pula. Aku bersetuju memandangkan aku memang ingin lihat sendiri singgahsana nenek moyangku itu. 

Istana Maimun merupakan Istana kesultanan Deli yang dibangunkan oleh Sultan Deli, Sultan Mahmud Al Rasyid yang dimulai pada tahun 1888 dan siap dibina pada tahun 1891. Istana ini memang indah kerana arkiteknya merupakan seorang warga Itali. Terdapat 30 ruangan dalam istana dan dekorasinya pula begitu unik dengan menggabungkan kebudayaan atau ciri-ciri Islam Melayu, India, Sepanyol dan Itali. 

Seronok juga aku mendengar penjelasan daripada Tengku Muhar seorang pemandu pelancong di Istana Deli. Keterangannya jelas dan terperinci sambil melihat gerak geri tangannya yang bersahaja. Di antara gambar-gambar yang terdapat di situ, ada juga daripada kesultanan Melayu Malaysia seperti Sir Ibrahim dari kesultanan Johor. 

Tengku Muhar semangat bercerita. Dia banyak fokus kepada aku kerana aku merupakan warga asing bukanlah sebab kekacakan dan keimanan aku

Selepas penjelasan habis dibuat. Aku bertanya sekali lagi perihal Syekh Muhammad sekiranya dia pernah berkhidmat di Istana sini. Katanya dia tidak pasti kerana tiada maklumat tersebut memandangkan Istana ini siap dibina pada tahun 1891 dan Syekh Muhammad pula dikatakan berkhidmat sebagai penasihat Istana pada tahun 1880. Bagaimanapun dia mengemukakan pendapatnya dengan memberi nama Sultan Deli yang wujud sewaktu itu dan berkemungkinan Syekh Muhammad pernah berkhidmat di bawahnya tetapi lokasinya terletak di Labuhan Deli. 

Selepas puas berjalan dan melawat, bang Wiwi meminta kebenaran untuk balik semula ke pejabatnya. Aku merasa terkejut kerana sangkaan aku bahawa hari tersebut merupakan hari cutinya memandangkan dia bersama aku semenjak pagi lagi. Ternyata tidak, dia hanya meluangkan masanya untuk menemani dan membantu pencarian aku. Semakin bertambah-tambahlah hormat aku kepada bang Wiwi. 

Dari kanan sekali, bang Pipon, kak Cilik, Tengku Mislah, Tengku Mahyuni, Opah, bang Wiwi, Brad Pitt dan Tengku Haris
Kami berpisah dengan bang Wiwi di Istana Maimun dan kereta yang dipandu oleh bang Pipon persis pemandu F1 pun meluru laju ke arah kampung. Di situlah nanti aku aku akan bermalam, di rumahnya kak Cilik dan Opah. Alhamdulillah. Hari kedua ditutup dengan puas dan gembira.  

Bersambung... 


*Bagi yang terlepas membaca bahagian pertama, boleh klik link ini ya: 
  
http://thaqibshaker.blogspot.my/2017/07/normal-0-false-false-false-en-my-x-none.html

No comments: