Saturday, July 29, 2017

Catatan seminggu di Kota Medan (Hari Kelima)


24 Julai 2017

Pejam celik sudah pun masuk hari ke lima. Esok merupakan hari terakhir aku berada di kota Medan. Masa berlalu begitu pantas sekali. Sebenarnya daripada hari pertama lagi kak Cilik sudah mengatakan bahawa lawatan aku ke Medan begitu singkat sekali. Seharusnya aku meluangkan masa di sini selama sebulan, barulah merasa puas.

Memang benar kata kak Cilik. Sebelum aku berangkat ke kota Medan, aku telah pun merancang untuk melawat seorang lagi daripada kalangan ahli keluargaku, iaitu bang Rizwan yang menetap di Pekan Baru. Aku bertemu dengannya sewaktu di KL tempoh lalu. Dia begitu tertarik dengan buku penulisan ‘Anak Malaya Di Republik Turki’ karyaku.

Aku bersama Opah, kak Cilik (tudung putih) dan Tengku Mahyuni (tudung biru) sewaktu di KL
Kata Kak Cilik, kalau mahu ke Pekan Baru, perjalanannya boleh memakan masa sekitar 12 jam dengan kereta. Menggunakan pesawat merupakan jalan terbaik. Lalu aku pun melihat di beberapa laman web penerbangan tambang murah. Kelihatan seperti Sriwijaya Air sahaja yang mempunyai khidmat ke Pekan Baru. Harga tiketnya pula agak mahal. Lalu aku batalkan sahaja hasratku ke sana. 

Pagi itu, seperti biasa. Selepas aku bersiap. Aku terus melangkah keluar ke halaman rumah. Kelihatan nasi lemak dan teh panas sudah tersedia di atas meja makan seperti selalu. Opah pula baru sahaja habis bersarapan. Dia mengajak aku duduk di sampingnya. Sambil makan, aku mendengar segala cerita dan nasihat Opah yang membina.

Dari jauh aku dapat melihat kak Iten sedang berjalan menuju ke rumah kak Cilek sambil di tangannya membawa sejenis makanan. “Makanlah kerang ini”. Kata kak Iten. Aku pun mejamahnya sedikit kerana merasa sudah kenyang. Kak Cilek turut ada membeli goreng pisang. Mewah betul sarapan pagi ku. Tapi malangnya, aku tidak mampu menghabiskan kesemuanya. 

Kak Cilek memberitahu aku bahawa rencana untuk hari ini ialah menjejaki salasilahku di kota Medan. Dia turut memaklumkan bahawa semalam dia sudah berhubung dengan seseorang yang mengetahui tentang kisah moyangku, Syekh Muhammad dan ahli keluarga yang lain. Aku menjadi teruja dan menunggu saatnya untuk ke sana.

Sekitar jam 12 tengahari. Aku, kak Cilek, kak Wawa bersama kedua-dua anak kecilnya, Icah dan Adib serta Opah bergerak menuju ke kota Medan. Sementara Ikhsan pula bertugas sebagai pemandu seperti biasa. 

Rumah pertama yang kami ziarah ialah rumah Ati Syarifah Rafidah yang merupakan cucu kepada Jadda Halimah di Jalan Karya. Rumahnya terletak bersebelahan dengan sebuah restoran Malaysia kelolaan sebuah NGO yang agak terkenal di tanah air dengan kekuatan ekonominya. Tertulis nama-nama menu di atas kain rentangnya seperti roti canai, nasi lemak dan teh tarik. 

Ati Syarifah Rafidah
Bagaimanapun, restoran itu telah pun tutup sewaktu itu. Aku yang dahagakan teh tarik dan roti canai Malaya ingin sahaja direntap kain rentang tersebut lalu menjamahnya. Sekali lagi aku tidak bertuah kerana kain rentang tersebut terletak di dalam restorannya yang ditutup dengan pagar. Ha ha.

Sementara di rumah Ati Syarifah. Aku, Opah dan kak Cilik mengambil peluang menunaikan solat zohor terlebih dahulu. Kemudian memulakan perbincangan. Aku menanyakan beberapa soalan berkenaan moyangku kepada ati. Tetapi dia tidak mempunyai maklumat yang terperinci. Lalu dia memberikan nama seseorang yang aku boleh berhubung iaitu ati Faizah.

Ati memberikan nombor telefonnya dan kak Cilik segera menghubunginya. Alhamdulillah, ati Faizah bersetuju untuk bertemu sekalipun dikekang dengan jadual yang padat. Lalu petang itu juga kami berkunjung ke rumah orang tuanya di jalan Masjid. Kereta yang dipandu Ikhsan pun meluncur perlahan masuk ke sebuah lorong yang gelap dan sempit.

Sebaik sahaja keluar daripada lorong tersebut. Maka kami melihat ada sebuah rumah di situ dan ati Faizah telah pun sedia menunggu di pintu masuk. Kami di sapa dan dijemput masuk ke dalam rumah. Aku memperkenalkan diri aku dan tujuan kedatangan aku.

Perbualan di antara kami pun bermula. Ternyata banyak manfaatnya sewaktu bertemu dengan ati Faizah. Katanya dia pernah datang ke Malaysia beberapa kali bertemu dengan sanak saudaranya. Lalu aku ditunjukkan sehelai kertas yang di atasnya terdapat sebuah lakaran jalur keturunan aku dan nenek moyangku. Wah! begitu gembira sekali. 

Selang 20 minit kemudian. Terdapat seorang lagi wanita yang hadir ke rumah Ati Faizah. Ternyata orangnya ialah ati Nenna. Dia telah memberikan kepadaku maklumat seorang lagi yang boleh aku temui iaitu ati Salhah yang katanya pernah hidup sezaman dengan moyangku, Syekh Muhammad. 

Kak Cilik tanpa membuang masanya terus menghubungi ati Salhah untuk memaklumkan tujuan kami. Tetapi yang mengangkatnya ialah anaknya yang bernama Chairat Humit. Katanya esok mereka boleh datang bertemu di Masjid Raya yang aku pernah menunaikan solat Jumaat bersama bang Wiwi dulu. Akhirnya kami mencapai kata sepakat dan bersurai dari rumah ati Faizah.

Waktu sudah pun gelap. Hujan mula turun membasahi bumi dengan lebat. Perut pula berbunyi tanda lapar. Ikhsan memakirkan kenderaannya di hadapan sebuah restoran dan keluar sendirian untuk membeli nasi goreng bungkus buat kami semua. 

Seperti seorang perantau. Hari ini kami akan menginap di rumah cucu Opah yang terletak berdekatan. Selalunya jika di kota Medan, kami boleh menginap di rumah bang Wiwi. Tetapi kata kak Cilik, rumahnya agak jauh sedikit. Maka tidak perlulah ke sana memandangkan esok kami akan bertemu dengan ati Salhah di kawasan sini juga. Aku akur.

Kedatangan kami disambut oleh seorang gadis kecil berskirt merah. Aku mengangkat bagasi kecil ku lalu memberi salam dan masuk ke dalam. Aku turut disambut oleh sepasang suami isteri yang kelihatan masih muda. Namanya Alif berumur 24 tahun dan isterinya Fitri berumur 29 tahun dan si gadis kecil tadi itu ialah Nabilah, anak mereka yang berumur 4 tahun.

Kami semua beramah mesra sambil menikmati nasi goreng yang dibeli Ikhsan tadi. Suasana di dalam rumah pula kecoh selepas Adib dan Icah bertemu dengan teman seusianya Nabilah. Maka bermainlah mereka dengan gembira sementara kami di sini pula sengsara mendengar segala tangisan dan jeritan mereka. Ha ha. Nakal mana pun, kanak-kanak adalah pujaan hidupku.

Selepas makan malam, aku masuk ke kamar mandi bagi membersihkan diri. Kemudian terus sahaja aku berlalu masuk ke bilik tidur sambil mengucapkan selamat malam kepada yang lain. Hari ini merupakan hari yang agak istimewa kerana aku sekadar merantau mencari maklumat nenek moyangku. Aku sejujurnya agak berpuas hati. Tetapi fikirku esok pasti lebih memuaskan kerana yang akan datang adalah orang yang pernah hidup bersama moyangku. Lalu sebelum tidur aku menyusun beberapa soalan dan lelap dalam kesunyian malam.    

Bersambung...

No comments: