24 Julai 2017
Pejam celik sudah pun masuk hari ke lima. Esok merupakan hari terakhir aku
berada di kota Medan. Masa berlalu begitu pantas sekali. Sebenarnya daripada
hari pertama lagi kak Cilik sudah mengatakan bahawa lawatan aku ke Medan begitu
singkat sekali. Seharusnya aku meluangkan masa di sini selama sebulan, barulah
merasa puas.
Memang benar kata kak Cilik. Sebelum aku berangkat ke kota Medan, aku telah
pun merancang untuk melawat seorang lagi daripada kalangan ahli keluargaku,
iaitu bang Rizwan yang menetap di Pekan Baru. Aku bertemu dengannya sewaktu di
KL tempoh lalu. Dia begitu tertarik dengan buku penulisan ‘Anak Malaya Di
Republik Turki’ karyaku.
Kata Kak Cilik, kalau mahu ke Pekan Baru, perjalanannya boleh memakan masa
sekitar 12 jam dengan kereta. Menggunakan pesawat merupakan jalan terbaik. Lalu
aku pun melihat di beberapa laman web penerbangan tambang murah. Kelihatan
seperti Sriwijaya Air sahaja yang mempunyai khidmat ke Pekan Baru. Harga
tiketnya pula agak mahal. Lalu aku batalkan sahaja hasratku ke sana.
Pagi itu, seperti biasa. Selepas aku bersiap. Aku terus melangkah keluar ke
halaman rumah. Kelihatan nasi lemak dan teh panas sudah tersedia di atas meja
makan seperti selalu. Opah pula baru sahaja habis bersarapan. Dia mengajak aku
duduk di sampingnya. Sambil makan, aku mendengar segala cerita dan nasihat Opah
yang membina.
Dari jauh aku dapat melihat kak Iten sedang berjalan menuju ke rumah kak
Cilek sambil di tangannya membawa sejenis makanan. “Makanlah kerang ini”. Kata
kak Iten. Aku pun mejamahnya sedikit kerana merasa sudah kenyang. Kak Cilek
turut ada membeli goreng pisang. Mewah betul sarapan pagi ku. Tapi malangnya,
aku tidak mampu menghabiskan kesemuanya.
Kak Cilek memberitahu aku bahawa rencana untuk hari ini ialah menjejaki
salasilahku di kota Medan. Dia turut memaklumkan bahawa semalam dia sudah
berhubung dengan seseorang yang mengetahui tentang kisah moyangku, Syekh
Muhammad dan ahli keluarga yang lain. Aku menjadi teruja dan menunggu saatnya
untuk ke sana.
Sekitar jam 12 tengahari. Aku, kak Cilek, kak Wawa bersama kedua-dua anak
kecilnya, Icah dan Adib serta Opah bergerak menuju ke kota Medan. Sementara
Ikhsan pula bertugas sebagai pemandu seperti biasa.
Rumah pertama yang kami ziarah ialah rumah Ati Syarifah Rafidah yang
merupakan cucu kepada Jadda Halimah di Jalan Karya. Rumahnya terletak
bersebelahan dengan sebuah restoran Malaysia kelolaan sebuah NGO yang agak
terkenal di tanah air dengan kekuatan ekonominya. Tertulis nama-nama menu di
atas kain rentangnya seperti roti canai, nasi lemak dan teh tarik.
Ati Syarifah Rafidah |
Bagaimanapun, restoran itu telah pun tutup sewaktu itu. Aku yang dahagakan
teh tarik dan roti canai Malaya ingin sahaja direntap kain rentang tersebut
lalu menjamahnya. Sekali lagi aku tidak bertuah kerana kain rentang tersebut
terletak di dalam restorannya yang ditutup dengan pagar. Ha ha.
Sementara di rumah Ati Syarifah. Aku, Opah dan kak Cilik mengambil peluang
menunaikan solat zohor terlebih dahulu. Kemudian memulakan perbincangan. Aku menanyakan
beberapa soalan berkenaan moyangku kepada ati. Tetapi dia tidak mempunyai
maklumat yang terperinci. Lalu dia memberikan nama seseorang yang aku boleh
berhubung iaitu ati Faizah.
Ati memberikan nombor telefonnya dan kak Cilik segera menghubunginya.
Alhamdulillah, ati Faizah bersetuju untuk bertemu sekalipun dikekang dengan
jadual yang padat. Lalu petang itu juga kami berkunjung ke rumah orang tuanya
di jalan Masjid. Kereta yang dipandu Ikhsan pun meluncur perlahan masuk ke
sebuah lorong yang gelap dan sempit.
Sebaik sahaja keluar daripada lorong tersebut. Maka kami melihat ada sebuah
rumah di situ dan ati Faizah telah pun sedia menunggu di pintu masuk. Kami di
sapa dan dijemput masuk ke dalam rumah. Aku memperkenalkan diri aku dan tujuan
kedatangan aku.
Perbualan di antara kami pun bermula. Ternyata banyak manfaatnya sewaktu
bertemu dengan ati Faizah. Katanya dia pernah datang ke Malaysia beberapa kali
bertemu dengan sanak saudaranya. Lalu aku ditunjukkan sehelai kertas yang di
atasnya terdapat sebuah lakaran jalur keturunan aku dan nenek moyangku. Wah!
begitu gembira sekali.
Selang 20 minit kemudian. Terdapat seorang lagi wanita yang hadir ke rumah
Ati Faizah. Ternyata orangnya ialah ati Nenna. Dia telah memberikan kepadaku maklumat
seorang lagi yang boleh aku temui iaitu ati Salhah yang katanya pernah hidup
sezaman dengan moyangku, Syekh Muhammad.
Kak Cilik tanpa membuang masanya terus menghubungi ati Salhah untuk
memaklumkan tujuan kami. Tetapi yang mengangkatnya ialah anaknya yang bernama Chairat
Humit. Katanya esok mereka boleh datang bertemu di Masjid Raya yang aku pernah
menunaikan solat Jumaat bersama bang Wiwi dulu. Akhirnya kami mencapai kata
sepakat dan bersurai dari rumah ati Faizah.
Waktu sudah pun gelap. Hujan mula turun membasahi bumi dengan lebat. Perut
pula berbunyi tanda lapar. Ikhsan memakirkan kenderaannya di hadapan sebuah
restoran dan keluar sendirian untuk membeli nasi goreng bungkus buat kami semua.
Seperti seorang perantau. Hari ini kami akan menginap di rumah cucu Opah
yang terletak berdekatan. Selalunya jika di kota Medan, kami boleh menginap di
rumah bang Wiwi. Tetapi kata kak Cilik, rumahnya agak jauh sedikit. Maka tidak
perlulah ke sana memandangkan esok kami akan bertemu dengan ati Salhah di
kawasan sini juga. Aku akur.
Kedatangan kami disambut oleh seorang gadis kecil berskirt merah. Aku mengangkat
bagasi kecil ku lalu memberi salam dan masuk ke dalam. Aku turut disambut oleh
sepasang suami isteri yang kelihatan masih muda. Namanya Alif berumur 24 tahun dan
isterinya Fitri berumur 29 tahun dan si gadis kecil tadi itu ialah Nabilah,
anak mereka yang berumur 4 tahun.
Kami semua beramah mesra sambil menikmati nasi goreng yang dibeli Ikhsan
tadi. Suasana di dalam rumah pula kecoh selepas Adib dan Icah bertemu dengan
teman seusianya Nabilah. Maka bermainlah mereka dengan gembira sementara kami
di sini pula sengsara mendengar segala tangisan dan jeritan mereka. Ha ha.
Nakal mana pun, kanak-kanak adalah pujaan hidupku.
Selepas makan malam, aku masuk ke kamar mandi bagi membersihkan diri.
Kemudian terus sahaja aku berlalu masuk ke bilik tidur sambil mengucapkan
selamat malam kepada yang lain. Hari ini merupakan hari yang agak istimewa
kerana aku sekadar merantau mencari maklumat nenek moyangku. Aku sejujurnya
agak berpuas hati. Tetapi fikirku esok pasti lebih memuaskan kerana yang akan
datang adalah orang yang pernah hidup bersama moyangku. Lalu sebelum tidur aku
menyusun beberapa soalan dan lelap dalam kesunyian malam.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment