Saturday, July 29, 2017

Catatan seminggu di Kota Medan (Hari Keenam dan Ketujuh)



25 Julai 2017

Mandi, solat subuh dan bersarapan telah aku laksanakan. Kini aku hanya menunggu kak Cilik bersiap untuk bertemu ati Salhah di Masjid Raya seperti yang ditetapkan. Semasa aku sedang menyarung baju kemeja hitamku. Kak Cilik pun tiba dan memberitahu bahawa kami tidak perlu ke Masjid Raya lagi sebaliknya ati Salhah dan anaknya sendiri akan ke sini memandangkan mereka tinggal hanya berdekatan.

Kata-kata kak Cilik itu aku anggap sebagai khabar gembira. Lebih baik sahaja mereka bertandang di rumah. Lebih selesa dan nyaman. Afandi telah pun keluar ke tempat kerjanya pagi-pagi lagi. Sementara isterinya pula, Fitri sibuk mengemas ruang tamu untuk menyambut kedatangan ati Salhah.

Kedengaran bunyi sebuah motor di hadapan rumah. Ati Salhah dan anaknya, Chairat sudah pun tiba.  Aku dan kak Cilik bergegas ke luar rumah untuk menyambut mereka. Ati Salhah kelihatan masih sihat dan bertenaga. Cuma dia berjalan agak perlahan dan perlu dipimping memadangkan kakinya tidak kuat lagi. Aku bersalaman dengan mereka dengan penuh penghormatan.

Ati Salhah memulakan bicara dengan bertanya asal usulku di Malaysia. Dia kelihatan berminat sekali. Sebenarnya, salah satu sebab aku ingin bertemu dengan ati Salhah ialah untuk memenuhi permintaan pakcikku, ami Fayed. Kerana katanya, kali terakhir dia bertemu dengan ati Salhah ialah sekitar tahun 1986. Lama juga! 

Ami Fayed ada juga menghantar sekeping gambar ati Salhah menerusi saluran whatsapp supaya aku dapat mengecamnya. Ya! Ternyata benarlah orangnya, aku tidak silap. Kak Cilik memintaku supaya berdiri di sisi ati Salhah untuk mengambil gambar bersama sebagai kenangan dan bukti pertemuan tersebut.

Pagi itu, aku terus menghubungi ami Fayed menerusi whatsapp supaya dia dapat bercakap terus dengan ati Salhah. Selepas mereka berbual, ati Salhah meminta aku menunjukkan gambar terbaru ami Fayed kerana terlalu lama tidak berjumpa. Aku kembali menghantar pesanan mesej kepada ami Fayed memintanya menghantarkan sekeping gambar dirinya.

“Oh, dah tua ye dia”. Kata ati Salhah sambil tersenyum ketika melihat gambar ami Fayed dan isterinya. Aku tanpa membuang masa, terus mengambil maklumat ati Salhah dan anaknya seperti nombor telefon dan alamat rumah supaya mereka tidak lagi terputus hubungan. Aku turut memberikan maklumat diri aku kepada Chairat.

Soalan--soalan yang aku kemukakan kepada ati Salhah sudah pasti perihal Syekh Muhammad bin Abdul Hamid. Kata ati Salhah, dia pernah hidup di zamannya dan masih mengingati beberapa perkara berkenaan Syekh Muhammad. Jelas ati Salhah, Syekh Muhammad yang lahir sekitar tahun 1860/70 ini gemar berpakaian putih dan membawa payung setiap kali keluar rumah.

Bagaimapaun, ati Salhah tidak banyak mengingati riwayat hidupnya. Tetapi apa yang pasti. Syekh Muhammad adalah seorang yang begitu alim dan kuat pegangan agamanya. Dia sangat dihormati oleh masyarakat setempat. Ketika aku membuat banyak kajian tentang moyangku seorang ini, barulah aku tahu segala kehidupan susah dan senangnya. 

“Puas hati ke Thaqib?”. Kak Cilik bertanya selepas ati Salhah dan anaknya pulang. “Puas!!” Kataku ringkas dengan tersenyum gembira. Sekurang-kurangnya impianku telah tercapai sehari sebelum kepulanganku ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. Alhamdulillah. Jutaan terima kasih buat kak Cilik yang membantu aku dari awal sehingga akhir!

Sekarang misi seterusnya, ialah berkunjung semula ke rumah bang Wiwi yang tidak kutemui sejak beberapa hari. Aku mengucapkan terima kasih kepada Fitri di atas kesudiannya menerima kujungan kami bermalam di rumahnya. Aku mendoakan supaya mereka bahagia selamanya bersama Nabilah yang kian membesar. Amin.

Bang Wiwi dilihat sedang duduk di bahagian belakang rumahnya bersama laptop dan printer. Dia yang segak dengan pakaian rasmi pejabatnya kelihatan begitu sibuk sekali melakukan kerja-kerjanya.

Kami duduk sejenak di rumah bang Wiwi untuk bersolat dan makan tengahari. Sebelum kami berpisah. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya dan meminta untuk mengambil gambar bersama sebagai kenang-kenangan.

“Sekarang kita ke Berastagi”. Ujar kak Cilik. Berastagi merupakan sebuah kota kecil yang terletak di dalam wilayah Karo di Sumatera Utara. Jumlah penduduknya pula sekitar 50,000 orang. Dari kota Medan ke Berastagi tidaklah begitu jauh iaitu sekitar 66 kilometer sahaja atau sejam perjalanan.

Pemandangan yang indah

Berastagi terletak jauh di atas puncak gunung. Kereta yang dipandu oleh Ikhsan tidak lagi begitu laju seperti sebelumnya kerana jalannya yang bersimpang siur, berbukit bukau dan sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Khususnya lori-lori yang melambatkan lagi perjalan. Semakin tinggi bergerak ke atas gunung, semakin sejuk dirasakan.

Pemandangan yang indah

Oh! Kali ini aku benar-benar merasa sejuk tambahan pula waktu sudah hampir lewat petang. Maka kesejukannya pula semakin bertambah. Ia mengingatkan aku sewaktu mula-mula dahulu melawat ke kota Bandung pada tahun 2011 bersama dua orang kakakku, anak dan suaminya. Kota Bandung yang terletak tinggi di atas bukit memang agak sejuk juga.

Aku sempat berkunjung ke gunung Tangkuban Parahu yang setinggi lebih 2,000 meter itu. Sementara di situ turut terdapat sebuah ladang strawberry yang luas..  Juga aku sempat ke pusat membeli belah terkenal iaitu Paris Van Java, juga berkunjung keTrans Studio Bandung dan pasar baru yang sangat terkenal dengan barangannya yang murah. 

Sebaik keluar dari kenderaan. Beberapa orang datang ke arah aku sambil mengajak aku menunggang kuda-kuda mereka yang berwarna hitam cantik. Aku tidak mahu dan cukup sekadar melihat  kuda-kudanya dari dekat. Opah, kak Nana bersama anaknya dan Ikhsan tunggu di kereta. Sementara aku dan kak Cilik berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut.

Berastagi

Kawasan ini lebih kepada pasar. Macam-macam jenis buah-buahan ada dijual. Ramai juga para pelancong dari negara luar di sana, tidak terlepas juga yang datang daripada Malaysia. Kemungkinan mereka menetap di sebuah hotel yang terletak di hadapan Berastagi. 

Kak Cilik mengajak aku duduk minum air tebu di salah sebuah kedai. Sambil itu, dia memesan jagung keju yang tidak pernah aku lihat dan cuba. Ternyata ianya begitu sedap sekali. Tak tahulah jika jagung keju ini terdapat di Malaysia atau tidak. Aku turut membeli sepaket buah strawberry yang sangat manis. 

Jagung keju yang sangat enak!

Selepas itu, kami menuju pula ke sebuah tempat yang bernama Penatapan Berastagi. Ia merupakan sebuah restoran yang terletak di puncak gunung. Kami boleh menikmati makanan sambil melihat pemandangan gunung-ganang yang indah. Aku terkadang itu menggeletar kesejukan kerana hari sudah hampir gelap.

 
Aku dan kak Cilek di penatapan Berastagi

Nasi goreng seperti biasa menjadi pilihanku. Aku turut memesan sejenis minuman yang bernama Bandrek. Aku mengetahui perihal air ini melalui salah seorang pengguna Facebook yang menyarankan aku supaya mencubanya. Bandrek ialah minumam tradisional orang Sunda dari Jawa Barat.

Bandrek yang tidak kucintai

Air ini selalunya dihidangkan pada cuaca yang sejuk. Bagi aku, Bandrek ini tidak ubah seperti halia. Mahu sahaja aku termuntah. Tidak sedap! Mungkin lidahku masih tidak mampu menerima air yang masih baru ini. 

Aku tidak melepaskan peluang menggunakan lebihan wang yang ada. Aku turut membeli sebuah fridge magnet yang murah sebagai koleksiku. Selepas puas bersiar-siar dan bergambar. Kami pun bertolak pulang semula ke kampung. Tamatlah sudah pengembaraan aku pada hari itu, yang juga merupakan pengembaraan terakhir kerana keesokannya pula aku akan kembali pulang ke Kuala Lumpur.

25 Julai 2017

Jika sebelumnya, aku bangun pagi dengan perasaan yang gembira dan teruja. Tetapi tidak lagi untuk hari ini. Selepas aku bangun solat dan bersarapan. Aku terus mengemaskan bagasiku yang kian berat dengan pelbagai macam barangan.

Semalam kak Cilik telah membeli dua potong kek pandan sebagai hadiah kepada aku sekeluarga dan pakcikku, ami Zubir. Sementara atok memeberikan sepasang telekung buat ibuku. Nasib baik bagasi ku begitu kecil. Jika tidak, pasti lebih banyak hadiah yang akan diberikan mereka.

Hari ini, aku akan berlepas pulang semula ke Kuala Lumpur pada jam 12.30 tengahari. Jadi pada jam 9 pagi lagi, aku dan kak Cilik sambil ditemani kak Iten dan Ikhsan ke Lapangan Terbang Kuala Namu. Tetapi sebelum itu, aku bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada Opah sekeluarga. Opah tidak dapat mengikuti ku kerana pada hari tersebut dia mempunyai kelas agama. 

Kesemua ahli keluarga kak Cilik mengucapkan terima kasih di atas kedatangan aku. Begitu juga aku yang terhutang budi dengan segala kebaikan mereka. Segala makan dan minumku harap dihalalkan dan segala salah silapku dimaafkan. Aku terfikir, mampukah aku membalas segala jasa mereka yang begitu besar ini? 

Gambar terakhir bersama bang Pipon

Bolehkah aku melakukan hal yang sama sekiranya mereka berkunjung ke negaraku? Percutian ini benar-benar merupakan sebuah percutian yang berkualiti. Kerana bukan sahaja aku dapat bertemu semula dengan ahli keluarga dari negara seberang. Bahkan aku telah dibawa untuk melawat banyak tempat lawatan yang jarang-jarang orang lawati.

Kami tiba di Lapangan Terbang selepas 40 minit perjalanan. Semua urusan di kaunter seperti mendapatkan boarding pass selesai. Aku sekali lagi mengucapkan selamat tinggal kepada kak Cilek dan kak Iten dan berlalu pergi. Tepat jam 12.30. Pesawat Air Asia, QZ 124 pun berlepas ke Kuala Lumpur.

-TAMAT-

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mengikuti kisah ini daripada hari pertama sehingga akhir. :)